Kerana itu saya sangat teruja apabila buat pertama kalinya dibukakan jalan dan diberi peluang oleh Allah SWT menulis sitkom 20 episod untuk TV Al-hijrah. Mereka mahukan sesuatu yang menarik dan penuh pengajaran seperti zaman cerita "Rumah Kedai" di dalam era 90an. Fikir saya dalam hati berat sungguh permintaan itu. "Rumah Kedai" saya pasti ramai yang masih ingat...merupakan sebuah drama episod yang dinanti-nanti setiap petang Ramadhan...ceritanya mudah namun penuh pengajaran dan begitu dekat di hati. Memang "Rumah Kedai" drama bulan Ramadahan yang saya suka dan masih saya ingat hingga ke hari ini.
Maka bermulalah cabaran untuk saya menghasilkan BAZAR AL-MUBARAK. Dari sessi "brainstorming" yang memang penuh dengan "ribut-taufannya" lahirlah idea untuk menerbitkan sebuah cerita yang berkisah tentang peniaga di Bazar Ramadhan. Perlahan-lahan kami membuahkan watak-watak seperti Adli, Johan, Milah, Lieya Mat Jaja, dan Sarah yang merupakan pendukung cerita yang bakal membawakan berbagai isu, nasihat, dan pengajaran yang ingin kami sampaikan kepada khalayak penonton.
Dugaan tidak berhenti dari saat pra-produksi sehingga lah ke suntingan episod terakhir...Pelakon menarik diri di saat akhir, menyebabkan jadual penggambaran menjadi berantakan, masalah teknikal dan bajet pula tidak mengizinkan kami mengambil krew yang berpengalaman. Lokasi berhampiran jalan utama dan berhadapan masjid menyebabkan kami terpaksa berhenti setiap kali ada kenderaan yang menderu laju...begitu juga tiap kali ada tazkirah dan khutbah yang panjang di masjid. Setiap petang pula hujan turun dengan amat lebatnya dan penggambaran terpaksa dihentikan. Penaja yang sudah beriya-iya tiba-tiba menarik diri dua hari sebelum penggambaran...mujur kami ditemukan dengan sebuah syarikat penaja yang lebih baik. Ya Allah setiap hari saya berdoa tabahkan hati kami.
Saya harus berpegang kepada prinsip percaya kepada kebolehan sendiri, dan percaya Allah tidak akan memberi saya tanggungjawab ini andai Dia tidak yakin dengan kemampuan hambaNya ini. Hampir 15 hari sebelum kamera berputar sehinggalah habis penggambaran saya hanya tidur paling lama 2 jam setiap hari. Ada 2-3 malam saya lansung tidak tidur. Pernah beberapa kali saya menitiskan air mata di depan skrin komputer kerana otak dan badan sudah terlalu letih. Tidak sepotong ayat pun mampu saya hasilkan sedangkan esok lusa pelakon dan seluruh krew bergantung kepada skrip saya. Namun di antara garis separa sedar akhirnya saya berjaya menghasilkan 20 skrip yang dikehendaki. Terima Kasih di atas bantuan pihak TV Al-Hijrah yang turut menyemak skrip dan setiap suntingan sitkom kami.
Semasa saya menulis artikel ini...cabaran menerbitkan BAZAR AL-MUBARAK belum sampai ke penghujungnya...masih ada 5 episod lagi sedang disunting dan 16 lagi menanti kelulusan TV Al-Hijrah dan LPF. Tetapi pengalaman ini mengajar saya sesungguhnya andai kita bersabar dan bertawakal Allah akan memberi kita petunjuk menuju jalan kebenaran...apa yang dirancang tetapi tidak berlaku adalah kerana dia ingin memberikan sesuatu yang lebih baik atau mungkin menghindarkan kita dari petaka yang tidak kita ketahui...yakinlah Dia Maha mengetahui.
Ingin saya mengambil kesempatan di sini untuk menjelaskan apa yang saya tulis di dalam BAZAR AL-MUBARAK adalah berdasarkan kealpaan dan kejahilan saya sendiri terhadap beberapa isu yang sering saya ambil remeh. Sebagai manusia saya juga sering lupa dan silap di dalam percaturan hidup ini. Namun BAZAR AL-MUBARAK mendidik dan mengingatkan saya banyak perkara tentang Islam yang saya cintai. Niat saya sama sekali bukan untuk merasa bongkak dan bangga diri apatah lagi menyindir mereka yang melakukan kesalahan di dalam amalan masing-masing...namun sebagai peringatan, pengetahuan dan renungan kita bersama. Saya sendiri banyak mengutip ilmu dari kajian untuk sitkom ini. Sampai saat ini saya berdoa kepada Allah agar apa yang saya tulis di dalam skrip ini berada di landasan yang betul dan tidak terpesong dari ajaranNya. Semoga ia mampu memperlihatkan Islam sebagai ugama yang indah, mendidik kita untuk menjalani hidup seperti tuntutanNya dan mendekatkan kita kepada Dia Maha Pencipta. Segala salah dan silap saya pohon kemaafan...yang kurang itu datang dari saya jua dan segala yang baik itu adalah dari Allah SWT. Semoga kita semua dikurniakan Ramadhan yang diberkati.
Jangan lupa menonton Bazar Al-Mubarak setiap Isnin hingga Jumaat jam 6ptg sepanjang bulan Ramadhan di TV Al-Hijrah bermula 23 Julai 2012. untuk maklumat lanjut sila buka dan click like di link berikut; http://www.facebook.com/BazarAlMubarak
Terima Kasih saya yang tidak terhingga kepada guru dan Pengarah saya, Idris Sheikh Ahmad yang mempercayai kebolehan saya lebih dari diri saya sendiri, dan tidak jemu-jemu memberi semangat dan peransang untuk saya tidak mengalah dan berputus asa. Tidak lupa juga kepada krew yang berdedikasi, dan sangat komited dengan produksi ini, saya bangga bekerjasama dengan anda...anda tahu siapa diri anda! Semoga Allah memberi peluang untuk kita bertemu lagi di produksi akan datang. Amin.
Salam Ramadhan,
Era Ramly.

No comments:
Post a Comment