Tuesday, June 4, 2013

TRAUMA DIKEPUNG PEROMPAK.


Ketika itu kira-kira jam 12.45pm, saya memandu kereta dalam perjalanan untuk mengambil suami di rumah kawannya di Ampang Jaya. Saya melihat cermin sisi dan perasan ada dua buah motor  scrambler di belakang saya sedang memotong sebuah lagi motor kapchai.  Kedua-dua motor scrambler dinaiki dua orang lelaki setiap satu. Dalam hati terdetik -- eh banyak pulak motor waktu begini.

Saya memperlahankan kereta ketika menghampiri simpang. Ketika itu saya perasan kedua2 scrambler itu sudah berada begitu rapat di sebelah kanan saya. Saya pula sedang teragak-agak samada mengambil simpang kiri atau masuk sahaja ke simpang kanan dan melanggar sahaja arahan jalan sehala. Melihatkan tiada kereta saya terus masuk ke kanan tanpa memberikan lampu isyarat.  Ketika ini kedua motorsikal itu sudah tidak kelihatan.

Saya memberhentikan kereta di depan pagar tanpa mematikan enjin. Suami sudah menunggu di luar rumah. Dia memberikan isyarat tangan supaya saya tunggu sementara dia masuk ke dalam mengambil beg galasnya.  Tiba-tiba saya sedari dua orang lelaki sudah berdiri di cermin sebelah kiri saya. Kedua-duanya memakai helmet bertutup yg hanya menampakkan sedikit sahaja bahagian muka mereka.  Memang ternyata mereka semua MELAYU (yang tak guna satu sen, tahap khinzir nombor satu!). Mereka berpakaian kemas, berkemeja warna cerah hampir sama, bersarung tangan. Sepantas kilat salah seekor khinzir ini mengangkat besi ditangannya, saya nampak jelas dia menggunakan besi spanar untuk membuka tayar (angular wheel spanar). Dua kali hentak, cermin pecah berderai. Saya panik, sepanik-paniknya…tidak terfikir untuk menekan hon, malah tidak terfikir untuk menjerit pun. Bila cermin sudah pecah, seekor khinzir itu menghulur tangan untuk mencapai beg tangan yang dijangka saya letakkan di atas kerusi…tapi tidak ada apa-apa disitu. Mereka seperti terpinga-pinga seketika dan menjengah mencari-cari di  mana beg tangan saya. Sebenarnya memang sudah menjadi kebiasaan dan sifat berjaga-jaga, saya selalu meletakkan beg tangan di tengah-tengah atas lantai bahagian kerusi belakang. Melihatkan mereka berdua itu mengambil masa untuk mencari beg, seorang lagi turun dari motornya dan menghampiri kereta saya dengan membawa sebuah “crow bar”.  Dia terus menuju ke pintu di mana saya duduk.  Saya rasakan jika dia menghentak cermin di bahagian saya, pasti saya akan turut dihentak dengan besi hitam itu.  Ketika itu saya menjerit sekuat-kuatnya. Suami saya bergegas keluar. Melihatkan suami saya keluar kesemua khinzir2 itu bergegas lari melompat ke atas motorsikal dan berlalu pergi.

Saya menggigil ketakutan. Tidak pernah mengalami trauma sebegini.  Ketika itu juga seorang lelaki melayu keluar dari sebuah kereta di seberang jalan. Rupanya dia ada di dalam kereta ketika semua ini berlaku dan motorsikal itu berhenti betul-betul di belakang keretanya. Katanya dia tidak sedar semua yang berlaku sebab sedang asyik bercakap di telefon. (atau mungkin sibuk layan fesbuk!) Tapi ini tidak memeranjatkan, sebab dunia hari ini orang memang tidak ambil pusing hal orang lain. Yang penting menjaga punggung masing-masing.

Satu perkara yang saya pelajari dari semua ini dan saya harap dapat dijadikan panduan kepada rakan-rakan wanita di luar sana. Peragut-peragut ini sangat profesional. Mereka tenang, tidak panik, kerja berpasukan dan sedikitpun tidak bersuara sepanjang kejadian. Mereka memang mensasarkan pemandu wanita yang memandu berseorangan.  Mereka akan ikut pemandu wanita ini sehingga mereka berhenti, tidak kiralah walaupun untuk seketika di lampu isyarat atau simpang (ini pernah berlaku kepada seorang sahabat saya yang lain).  Tidak kiralah tempat itu sunyi atau ramai orang. Rumah kawan di mana kejadian terhadap saya berlaku betul-betul berhadapan jalan utama yang sibuk.  Bagaimana kita berhati-hati pun malang sememangnya tidak berbau. Melihat motor-motor itu merapati saya, saya sudah berasa tidak sedap hati.  Seharusnya saya mendengar kata-kata naluri hati saya.  Paling penting jangan panik! Ya memang mudah untuk mengucapkannya tapi apabila berhadapan dengan situasi ini memang sukar untuk tidak panik. Saya sendiri tidak sangka saya akan panik sebegitu.  Seharusnya saya melepaskan brek dan menekan minyak kereta, sudah pasti khinzir2 itu tergolek mampus jika saya buat begitu tadi. Dan yang paling penting bacalah ayat Qursi setiap kali sebelum keluar rumah…..sebab hari ini saya kelam-kabut dan lupa membacanya seperti selalu. Wallahualam…..Apa pun Alhamdulillah Allah masih memberikan saya satu hari lagi untuk bernyawa.

Untuk makluman saya tidak membuat  laporan polis. Saya fikir tiada gunanya kerana tiada apa yang hilang. Sedangkan kejadian pejabat saya dimasuki orang luar dan hilang 3 laptop 3 tahun lalu sampai hari ini PDRM tidak berjaya menyelesaikannya. Malah pencuri yang sama masuk lagi ke kawasan yang sama tahun lepas. Maaf hari ini memang hati saya sakit dengan kadar jenayah yang meningkat, orang Melayu yang semakin ramai jadi penjenayah dan kepercayaan saya terhadap PDRM sangat terguris.

Kepada keluarga dan rakan-rakan yg selalu mendoakan saya, terima kasih yang tidak terhingga. Mungkin saya selamat berkat doa kalian jua. Semoga Allah melindungi dan merahmati kalian semua selalu tidak kira rakan dari apa bangsa sekalipun.  

Semasa saya dan suami pergi mengambil kereta yang sudah dibaiki cerminnya, bertemu pula dengan seorang kenalan. Dia bercerita memang terlalu banyak kejadian pecah rumah, ragut dan rompak di sekitar Ampang kebelakangan ini.  Rumah jiran di kiri dan kanannya di pecah masuk selang 2-3 hari. Rungutnya, jenayah memang semakin meningkat di Kuala Lumpur. Malaysia bukan lagi antara negara paling selamat.  Katanya lagi mengapa pihak Polis sibuk sangat memberi perhatian kepada isu Politik dan pengacau-pengacaunya sedangkan rakyat semakin hari semakin diancam penjenayah yang berleluasa. Kata-katanya itu membuatkan saya terfikir, kalaulah kita semua berhenti berpolitik dan bercakaran sesama sendiri dan sebaliknya memberi lebih perhatian dan prihatin terhadap sesama rakan, jiran, malahan orang yang tidak kita kenali yang sedang berada di dalam bahaya, pasti dunia ini lebih aman kan.  Tapi itu pun kalaulah.......dan yang kalau itu memang payah. Yang mudah ialah untuk kita berusaha mengubah diri sendiri untuk menjadi manusia yang menyumbang kepada keamanan dunia daripada menjadi manusia yang asyik mengomel dan mengkritik tidak berpuas hati itu dan ini.  Oleh itu saya kongsikan cerita saya ini untuk semua dengan harapan catatan kecil saya ini dapat menjadikan pemandu wanita di luar sana lebih berhati-hati.  Semoga Allah melindungi kalian semua. Amin.