Monday, July 16, 2012

Bazar Al-Mubarak....sitkom pertama saya

Saya kira saya masih baru lagi di dalam bidang penulisan.  Penulisan saya juga  berbagai genre tidak fokus kepada satu bidang sahaja.  Dan penulisan saya pula tertakluk kepada lingkungan bidang kerja atau lebih jujur lagi bergantung kepada rezeki yang datang. Adakalanya acara seperti persembahan muzikal untuk Klien, menulis puisi dan artikel untuk iklan akhbar atau brosur, skrip iklan televisyen, dokumentari, brosur korporat, video korporat dan bermacam lagi.  Mungkin kerana kebiasaan itu saya seringkali jadi buntu bila menulis untuk diri sendiri. (Mungkin juga sebab itu saya cukup malas mengemaskini laman blog ini..he he). Saya rasa cemburu apabila melihat orang lain boleh menulis mengikut citarasa dan kepuasan sendiri dan tidak terbatas kepada apa yang dimahukan oleh Klien.

Kerana itu saya sangat teruja apabila buat pertama kalinya dibukakan jalan dan diberi peluang oleh Allah SWT menulis sitkom 20 episod untuk TV Al-hijrah.  Mereka mahukan sesuatu yang menarik dan penuh pengajaran seperti zaman cerita "Rumah Kedai" di dalam era 90an.  Fikir saya dalam hati berat sungguh permintaan itu. "Rumah Kedai" saya pasti ramai yang masih ingat...merupakan sebuah drama episod yang dinanti-nanti setiap petang Ramadhan...ceritanya mudah namun penuh pengajaran dan begitu dekat di hati.  Memang "Rumah Kedai" drama bulan Ramadahan yang saya suka dan masih saya ingat hingga ke hari ini.



Maka bermulalah cabaran untuk saya menghasilkan BAZAR AL-MUBARAK.  Dari sessi "brainstorming" yang memang penuh dengan "ribut-taufannya" lahirlah idea untuk menerbitkan sebuah cerita yang berkisah tentang peniaga di Bazar Ramadhan.  Perlahan-lahan kami membuahkan watak-watak seperti Adli, Johan, Milah, Lieya Mat Jaja, dan Sarah yang merupakan pendukung cerita yang bakal membawakan berbagai isu, nasihat, dan pengajaran yang ingin kami sampaikan kepada khalayak penonton. 

Oleh kerana banyak masalah yang tidak dapat dielakkan pengesahan kontrak untuk menerbitkan program ini lambat tibanya. Bajet juga tidak mengizinkan kami untuk menghasilkan suasana bazar Ramadhan yang diinginkan. Sokongan tidak diperolehi dari pihak penjaja mungkin kerana kesuntukan masa. Tidak dikira masalah dengan beberapa pihak lain yang saya rasa lebih baik tidak saya nyatakan di sini.  Itu baru dugaan pra-produksi.

Dugaan tidak berhenti dari saat pra-produksi sehingga lah ke suntingan episod terakhir...Pelakon menarik diri di saat akhir, menyebabkan jadual penggambaran menjadi berantakan, masalah teknikal dan bajet pula tidak mengizinkan kami mengambil krew yang berpengalaman.  Lokasi berhampiran jalan utama dan berhadapan masjid menyebabkan kami terpaksa berhenti setiap kali ada kenderaan  yang menderu laju...begitu juga tiap kali ada tazkirah dan khutbah yang panjang di masjid.  Setiap petang pula hujan turun dengan amat lebatnya dan penggambaran terpaksa dihentikan. Penaja yang sudah beriya-iya tiba-tiba menarik diri dua hari sebelum penggambaran...mujur kami ditemukan dengan sebuah syarikat penaja yang lebih baik. Ya Allah setiap hari saya berdoa tabahkan hati kami.

Menghasilkan sebuah naskah islamik yang berat bukanlah mudah lebih-lebih lagi untuk genre sitkom.  Saya mula merasa takut, gementar, bimbang untuk melakukannya. Tambahan lagi saya tidak pernah menghasilkan skrip komedi. Namun keyakinan Pengarah, Idris Sheikh Ahmad terhadap kebolehan saya menjadi pendorong untuk saya berusaha memberikan yang terbaik. Saya perlu menghasilkan 20 skrip dalam tempoh seminggu! SEMINGGU! Serasa seperti diserang sakit jantung....segala peluh tak kira jantina membasahi tubuh...Saya merasa tertekan...sangat tertekan!  Ini bukan drama dongeng cintan cintun!...ini sitkom islamik!...perlu ada kajian terperinci...perlu ada rujukan sahih...kemudian diolah dari isu yang  berat menjadi santai dan komedi! aduuuuh jantung saya bertambah kencang....Bimbang saya tersilap kata, bimbang saya tersalah fakta, bimbang lawak tak kena masa...

Saya harus berpegang kepada prinsip percaya kepada kebolehan sendiri, dan percaya Allah tidak akan memberi saya tanggungjawab  ini andai Dia tidak yakin dengan kemampuan hambaNya ini.  Hampir 15 hari sebelum kamera berputar sehinggalah habis penggambaran saya hanya tidur paling lama 2 jam setiap hari. Ada 2-3 malam saya lansung tidak tidur. Pernah beberapa kali saya menitiskan air mata di depan skrin komputer kerana otak dan badan sudah terlalu letih.  Tidak sepotong ayat pun mampu saya hasilkan sedangkan esok lusa pelakon dan seluruh krew bergantung kepada skrip saya. Namun di antara garis separa sedar akhirnya saya berjaya menghasilkan 20 skrip yang dikehendaki.  Terima Kasih di atas bantuan pihak TV Al-Hijrah yang turut menyemak skrip dan setiap suntingan sitkom kami.

Sesuatu yang menakjubkan saya...syukur ke hadrat Illahi...kerana kami dikurniakan barisan pelakon yang sangat berbakat dan komited dengan kerja masing-masing.  Sekejap sahaja mereka mampu menghafal skrip dan bijak pula membuat "add lip" secara spontan di depan kamera. Siapa kata artis bukan dari golongan cerdik pandai! Mereka sangat faham apa yang dimahukan oleh watak dan Pengarah. Saya kagum dengan para pelakon seperti Hushairi, Along Eyzendy, Khairilridzuan, Elly Mazlein, Tania Zainal, Adeep Nahar, Mia Sara, Pekin Ibrahim.  Tidak kurang juga pelakon undangan seperti Siti Nor Katijah, Nieta Othman, Atik, Mardiana Alwi dan Zizi Zulkifli...saya biasa bekerjasama dengan mereka ini semenjak mereka masih menuntut lagi. Meskipun sekejap kemunculan mereka tetapi berkesan. Kebanyakan mereka ini terdidik di pentas teater dan lahir dari ASWARA...berpendidikan dan berpengalaman dalam bidang lakonan...mereka membuktikan bakat lebih utama dari paras rupa! Saya bangga berpeluang bekerjasama dengan mereka.  Diberi 10 pelakon kacak, jelita dan ternama pun saya tetap memilih mereka! Sayangnya penonton kita belum lagi terdidik untuk melihat antara kaca dan permata, mengenal antara bakat dan rupa. Bagi saya ini bukan salah mereka semata-mata tetapi kerana disogok dengan wajah tampan dan jelita saban hari oleh pihak stesyen televisyen yang enggan memberi peluang kepada pelakon berbakat tetapi kurang pesona fizikalnya...Ah isu ini perlu saya kupas di blog yang lain pula.

Semasa saya menulis artikel ini...cabaran menerbitkan BAZAR AL-MUBARAK belum sampai ke penghujungnya...masih ada 5 episod lagi sedang disunting dan 16 lagi menanti kelulusan TV Al-Hijrah dan LPF.  Tetapi pengalaman ini mengajar saya sesungguhnya andai kita bersabar dan bertawakal Allah akan memberi kita petunjuk menuju jalan kebenaran...apa yang dirancang tetapi tidak berlaku adalah kerana dia ingin memberikan sesuatu yang lebih baik atau mungkin menghindarkan kita dari petaka yang tidak kita ketahui...yakinlah Dia Maha mengetahui.

Ingin saya mengambil kesempatan di sini untuk menjelaskan apa yang saya tulis di dalam BAZAR AL-MUBARAK adalah berdasarkan kealpaan dan kejahilan saya sendiri terhadap beberapa isu yang sering saya ambil remeh.  Sebagai manusia saya juga sering lupa dan silap di dalam percaturan hidup ini. Namun BAZAR AL-MUBARAK mendidik dan mengingatkan saya banyak perkara tentang Islam yang saya cintai.  Niat saya sama sekali bukan untuk merasa bongkak dan bangga diri apatah lagi menyindir mereka yang melakukan kesalahan di dalam amalan masing-masing...namun sebagai peringatan, pengetahuan dan renungan kita bersama.  Saya sendiri banyak mengutip ilmu dari kajian untuk sitkom ini. Sampai saat ini saya berdoa kepada Allah agar apa yang saya tulis di dalam skrip ini berada di landasan yang betul dan tidak terpesong dari ajaranNya.  Semoga ia mampu memperlihatkan Islam sebagai ugama yang indah, mendidik kita untuk menjalani hidup seperti tuntutanNya dan mendekatkan kita kepada Dia Maha Pencipta.  Segala salah dan silap saya pohon kemaafan...yang kurang itu datang dari saya jua dan segala yang baik itu adalah dari Allah SWT. Semoga kita semua dikurniakan Ramadhan yang diberkati.

Jangan lupa menonton Bazar Al-Mubarak setiap Isnin hingga Jumaat jam 6ptg sepanjang bulan Ramadhan di TV Al-Hijrah bermula 23 Julai 2012.  untuk maklumat lanjut sila buka dan click like di link berikut; http://www.facebook.com/BazarAlMubarak

Terima Kasih saya yang tidak terhingga kepada guru dan Pengarah saya, Idris Sheikh Ahmad yang mempercayai kebolehan saya lebih dari diri saya sendiri, dan tidak jemu-jemu memberi semangat dan peransang untuk saya tidak mengalah dan berputus asa. Tidak lupa juga kepada krew yang berdedikasi, dan sangat komited dengan produksi ini, saya bangga bekerjasama dengan anda...anda tahu siapa diri anda! Semoga Allah memberi peluang untuk kita bertemu lagi di produksi akan datang. Amin.






Salam Ramadhan,
Era Ramly.