![]() |
| Jana ketika berusia 16tahun |
Seringkali kita mendengar tentang insan terpilih yang
menerima Hidayah dari mimpi mahupun peristiwa yang mengesankan jiwa. Berbeza dengan kisah Jana Petersen seorang
gadis dari Hamburg, Jerman. Hidayah itu tidak datang kepadanya secara
tiba-tiba.
Jana (sebutannya Yana) menjejakkan kaki di Malaysia buat
pertama kalinya pada tahun 2003 melalui program pertukaran pelajar AFS
(American Field Service) ketika dia berusia 16tahun. Jana ditempatkan dengan sebuah keluarga angkat Melayu di
Keramat. Sebelum datang ke Malaysia Jana tidak begitu tahu tentang Islam dan
tidak pernah mengenali orang Islam.
Tempoh setahun berada di Malaysia membuatkan Jana jatuh
cinta dengan budaya, bahasa dan cara hidup masyarakat Melayu. Jana tertarik dengan sikap masyarakat
Melayu yang masih berpegang teguh kepada budaya dan adat resam tidak seperti
suasana di German. Paling
dikaguminya ialah bagaimana orang Islam percaya kepada qada’ dan qadar dan
redha dengan segala apa yang menimpa mereka.
Meskipun keluarganya beragama Protestan, Jana pula membesar
sebagai seorang Atheis. Melihat keluarga angkatnya yang percaya kepada Allah
membuatkan Jana tertarik kepada konsep ketuhanan dan keimanan.
| Bersama ibu angkatnya, Puan Fauziah |
Tiba bulan Ramadhan, Jana menyatakan hasratnya ingin cuba
berpuasa kepada ibu angkatnya, Fauziah. Lalu Fauziah mengajar Jana supaya
berniat untuk berpuasa kerana Tuhan, tidak kira apa jua Tuhan yang
dipercayainya. Setelah berniat Jana merasakan lebih senang untuk berpuasa dan
akhirnya berjaya berpuasa selama sebulan.
Jana pulang ke Hamburg, German pada tahun 2004. Setelah pulang, Jana tidak henti-henti
bercerita tentang Islam kepada rakan-rakan dan keluarga. Jana mula cuba
mendekati rakan-rakan beragama Islam dari Bosnia dan Arab.
Jana mula merindui keluarga angkat, rakan-rakan-rakan dan
suasana kehidupan di Malaysia. Jana juga teringin untuk merasakan keindahan
Ramadhan sekali lagi. Setelah tamat persekolahan pada tahun 2006, Jana kembali
ke Malaysia untuk bercuti dan sekaligus menikmati puasa di bulan Ramadhan.
Di pertengahan bulan Ramadhan Jana kembali ke Hamburg dan
menyambung puasanya di sana. Jana merasa yakin bahawa dia telah menemukan
“Tuhan-nya” dan jalan kebenaran. Pada 15 Oktober 2006 Jana mencapai usia genap
18 tahun dan dia sedar dia kini boleh membuat pilihannya sendiri. Pada malam Aidil Fitri, Jana melafazkan
dua kalimah syahadah di sebuah surau di Hamburg, Jerman.
Jana memberitahu ibu dan bapanya bahawa dia telah memeluk
Islam. Ibunya tidak menentang dan mengharapkan Jana bahagia dengan pilihannya.
Namun dia sedikit bimbang akan laporan media Barat yang sering menggambarkan
Islam sebagai agama yang tidak menghormati hak wanita dan suami yang suka
memukul isterinya. Manakala ayah
Jana pula hanya mendiamkan diri dan tidak memberikan sebarang reaksi sebagai
tanda kurang bersetuju.
Secara perlahan-lahan Yana menjelaskan kepada keluarganya
tentang keindahan Islam dan tidak tergesa-gesa menunjukkan perubahan diri. Akhirnya ibu dan bapanya dapat menerima
malahan berusaha memastikan dia selesa menganuti agama Islam seperti memastikan
dia mendapat makanan yang halal.
Cintanya terhadap Islam mendorong Jana untuk melanjutkan
pelajaran peringkat sarjana di dalam jurusan pengajian Asia Tenggara sebagai
kursus major dan Kajian Perbandingan Agama untuk kursus minor di Universiti
Hamburg.
| Jana (kiri) bersama rakan karibnya di Jerman. |
Hampir setiap tahun Jana akan kembali ke Malaysia, tempat di
mana dia menemukan hidayahnya. Dia pernah menjalani latihan amali di Dewan
Bahasa dan Pustaka untuk mendalami Bahasa Malaysia. Jana tidak melepaskan
peluang untuk mempelajari tajwid Al-Quran setiap kali berada di Malaysia. Jana
juga baru sahaja pulang dari menjalankan kajian tentang Persijilan Halal untuk
thesisnya di Universiti. Jana turut
belajar bahasa Arab di Syria selama 3 bulan dan boleh bertutur di dalam
bahasa Arab dengan agak baik.
Jana adalah lambang wanita Islam yang moden, bijak dan
berpendidikan tinggi. Tutur
katanya yang lembut, ramah dan merendah diri menggambarkan dirinya yang
sentiasa menjunjung cara hidup Islam yang sederhana dan cintakan kedamaian.
Jana merasakan dia telah menemukan dirinya yang sebenar di
dalam Islam. Dia merasa amat tenang dan bahagia dengan pilihannya. Seperti katanya…”I have found my place
in Islam….this is where I belong”.
